Salam alaykum.
"Perjalanan hidup adalah perjalanan hati. "
Memetik kata-kata seorang ukhti. Kita cuma ada sekeping hati, dalam jasad pinjaman Tuhan. Entah baik atau buruk, sekeping hati itu. Menentukan apa yang terluah pada jasad sebagai amal harian.
Belajar bagaimana mahu seimbang antara 'spoken word' dan 'written word'. Bukan mudah! Tetapi itulah yang perlu dilatih untuk menjadi pemimpin. Menuturkan percakapan yang menjadi inspirasi, tetapi dalam susunan kata yang paling mudah difahami. Tidak perlu bermadah bicara, penyedap kata dan sebagainya. Terus, kepada isinya!
Mungkin kalian tidak faham apa saya tuturkan. Nanti ada masa dan keizinanNya saya kongsikan, insyaAllah.
Bila sudah tua
Selesai berbual dengan nenek tercinta, menggunakan teknologi canggih yang ada. Walau terpisah dua benua, tetap rasa dekat.
" Tok dah pakai pampers," Angah memberitahu. Sudah dijangka, dengan usianya yang melebihi 80- an, pasti sistem fisiologi badan sudah kepenatan.
"Tok nak ke bilik air tak berasa, nasib baik la bilik air dekat. Tu tok suka tidur dekat-dekat bilik air saja," kami memanggil nenek dengan panggilan Tok. Melihat raut wajahnya, walau dalam kekaburan dek kerana teknologi masih tidak boleh mengatasi pertemuan dari mata ke mata.
Kisah cinta mereka, tauladan anak cucu. Kasih berpanjangan hingga syurga.
"Syukur, tok ni boleh juga bangun ke bilik air sorang-sorang. Tak menyusahkan orang sangat," Cucu mendengar celoteh Tok. Itu dan ini. Mengerti bahawa dia sedang merindukan cucunya yang jauh itu.
Tok selalu risau, kalau dia menyusahkan anak cucunya. Kalau dia mampu, segalanya dia mahu buat sendiri.

Tok sentiasa setia di sisi suami,
menemani Tokki yang bertarung nyawa disaat-saat akhir usia.
Hati teringat pesan Maha Pencipta.
Betapa hidup tak lama, andai usia dipanjangkan pun kita akan tetap kembali ke asal kita. Lemah, mengharapkan orang lain.
Datang dan pergi
Melihat bayi yang baru lahir, baru mahu merasai kehidupan dunia yang penuh cabaran ini. Juga melihat kehidupan seorang insan di saat-saat usia sudah kepenghujungnya. Ternanti-nanti bila ajal kan menjelma.
Semua ini tanda-tanda kebesaran Maha Pencipta.
Memikirkan kesudahan usia sendiri, semua itu rahsiaNya. Tetapi kita tetap boleh berusaha untuk mendapat yang terbaik pada penghujung usia kita.
12.2.1949 : Tarikh kesyahidan seorang pejuang agama ini. Betapa sehingga kini manusia menyebut kebaikannya. Menyambung perjuangannya. Imam Asy-syahid Hasan Al-Banna. Tetap dalam kenangan.
Adakah tarikh kematian kita, ada yang mengendahkannya?