18 December 2011

Memilih untuk mati


Salam alaykum.

Salam sejahtera ke atas semua muslim dan mukmin. Ungkapan mulia yang hanya layak diucapkan oleh orang yang beriman kepada orang yang beriman juga. Maka, hargailah!


Memilih kematian.

Pasca subjek Forensik, pasti kematian bukan suatu yang asing bagi kita. Sudah terpampang di hadapan mata, berbagai jenis pengakhiran hidup seseorang yang bernama insan. Bergantung pada kejernihan hati dan iman, untuk menilai semuanya berdasarkan neraca dunia sahaja, sekadar berpenat lelah demi mumtaz yang langsung tidak Allah pandang tanpa niat yang ikhlas. Atau melihat segalanya dari jendela akhirat. Mengambil ibrah dan pengajaran pada setiap sudut matapelajaran itu.

Sungguh, andai kita boleh memilih cara kematian kita. Di mana, dan bagaimana. Dengan siapa. Alangkah indahnya. Tetapi Allah telah mengingatkan :

“Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.(Luqman 31:34)”


Berguru dengan sang ketam?

Seperti sang ketam, mahu anaknya berjalan lurus. Puas dimarah. Anaknya berjalan mengiring juga. Kerana apa? Oh, ibunya tak pernah menunjukkan qudwah dan contoh terbaik.


sumber : Google image

Memberi syarahan menjaga kesihatan kepada para doktor dan bakal doktor kedengaran janggal sama sekali. Kerana kitalah sepatutnya orang pertama yang sudah maklum tentang perkara ini, dan menyebarkan kesedaran kepada masyarakat. Malangnya, terlalu banyak doktor-doktor yang yang menjadi mesin penghafal buku perubatan, tanpa penghayatan dan beramal dengannya ilmu-ilmunya.

Jadilah mereka pokok yang layu. Jangan diharap buah yang segar daripada mereka. Mereka cuma pohon layu, hidup segan mati tak mahu dan menanti masa untuk ditebang sahaja.


العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر

Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tanpa buah


Maka para doktor qudwah sekalian, amalkan segala ilmu yang telah kita pelajari. Seribu satu penyakit yang telah dihadam dari muka ke muka buku, serta langkah pencegahannya. Maka, jangan biarkan ia tepu di dalam minda. Luahkan, di dalam amal kalian!






Peringatan demi peringatan

Betapa sayangnya Allah pada kita. Satu demi satu nyawa yang ditarik dalam kalangan orang yang terdekat dengan kita. Allah sayangkan mereka, menyelamatkan mereka daripada fitnah dan ujian dunia ini yang sangat hebat ini. Dan sayangNya pada kita, memberi kita masa lagi untuk kembali insaf dan sedar. Kembali kepada fitrah, kembali menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya.

Lupakah kita, berita tentang Allahyarham Ammar (Jun 2009), Allahyarham Ahmad Sarhan (Mac 2010), Allayarhamah Nurul Iman (Januari 2011), Allahyarham Sir Ishak Mustafa Kamal (2011), Allahyarhamah Fatin Fasihah (Julai 2011), Allahyarham Ahmad Zahinuddin (September 2011), Allahyarham Haizrol Azizy (September 2011), Allahyarham Fareez Izhar (November 2011). Dan mungkin paling terbaru bagi sesetengah daripada kita, tentang saudara seaqidah kita, malah sebangsa kita yang turut berasal dari tanah air kita, walaupun arwah menuntut di tanah Syam seberang sana. Allahyarham Ilham Ellani (Disember 2011).

Sombongnya kita sebagai hamba, andai sedikitpun iman tidak terjentik dengan berita-berita ini. Malah maksiat yang daripada dulu sudah sebati dalam diri, masih dihidang berbagai alasan untuk terus melakukannya.

Sedangkan mungkin, saya atau kamu senarai seterusnya. Mungkin pada saat ini, malaikat Izrail sudah berada di tepi. Cuma menunggu arahan dariNya. Maka, bersedialah!

“Peluang mendapat ijazah kedoktoran itu masih ILUSI, tetapi mati itu PASTI!”

Pesan sang pencipta kita:

"Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)". (Nuh 71:4)
Bila sudah tiba, nescaya tiada tangguh lagi!

0 comments: