01 April 2011

Bangunlah! sebentar lagi akan siang.

Salam alaykum.
Update ringkas di permulaan April. Sanah helwah ya Achek! Mahu request doa lagi, cepat-cepat beritahu. Kami mahu hadiahkan doa yang terbaik untuk Achek.

Bangsaku, bangunlah dari lena.

"Terasa nak menangis tengok gambar kawan-kawan di Facebook!" teman baik saya meluahkan sedihnya.

Kerja dakwah masih banyak. Terlalu ramai lagi manusia-manusia yang belum disapa iman dan hidayahNya. Kerja kita, amanah dari Dia. Sedih tidak boleh berpanjangan. Moga ia jadi penolak untuk terus bekerja dan beramal dengan lebih gemilang.


Menghayati dan menyelami setiap bait-bait kata yang terluah. Air mata tumpah lagi. Hiba mengenang nasib bangsaku.

Asyik mahu menangisi nasib bangsa kita, tapi sampai bila? Bekerjalah lebih kuat, moga Allah menerima amal kita. Percayalah, segala masalah ummah ini masih ada jalan keluarnya. Jangan putus asa. Putus asa bukan sifat kita.


Sebentar lagi siang

Alam jingga

Mentari sujud pada Tuhan

Baru sebentar aku menghirup udara petang

Malam menjemputku pulang

Aku berdiri di gigi Laut Merah

Dikelilingi buih-buih ombak

Pecah

Pecah

Pecah

Seperti ummahku yang pecah

Tatkala terhempas pada batu peradaban sekular

Batuan yang kasar merobek maruah ummah

Hingga jatuh terjelepok

Pada tiga, tiga, sembilan belas dua puluh empat

Jatuh terduduk, lalu terbaring tak bangkit-bangkit

Senja tiba

Azan berkumandang

Buih-buih masih enak menyerah diri pada batuan yang tiada belas

Lalu pecah lagi

Berkumpul buih-buih lalu pecah lagi

Aku celup telapak tanganku pada Laut Merah

Mengambil jernih wudhu’ daripada ummah yang luka

Aku temukan kedua-dua belah tanganku

Laluku simbah ke wajah

Segar

Rupanya di balik buih-buih yang pecah

Masih ada air

Alam jingga

Mentari bangkit bertakbir

Aku berdiri di gigi Laut Merah

Sebentar tadi malam

Sebentar lagi siang

Sebentar lagi akan siang

Oleh: Amirah AJ

sumber : (ismamesir.com)

0 comments: